mutakhir

Pantai Irama bakal lahir peninju Muay Thai

Oleh Nor Amalina Alias

KEINDAHAN Pantai Irama, Bachok menarik perhatian Persatuan Sukan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) untuk ‘menyunting’ lokasi itu sebagai tempat latihan melahirkan peninju Muay Thai berkelas antarabangsa seperti Thailand.

Presidennya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya dalam perancangan membuka tempat latihan di pantai itu hujung tahun ini sebagai lokasi khas latihan Muay Thai seperti di Pattaya, Thailand dan Selatan Thailand.

Katanya, Kelantan mampu melahirkan peninju Muay Thai tersendiri memandangkan sebelum ini sudah ramai jaguh dari negeri itu dilatih mewakili pasukan tinju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Muay Thai di Kelantan sudah setaraf dengan negara jiran malah ketika ini terdapat lebih 2,000 peninju Muay Thai profesional sudah kita lahirkan.

“Cuma kita perlukan lokasi strategik untuk mereka menjalani latihan.

“Setakat ini kita lihat ia sesuai dibuat di Pantai Irama, Bachok atau Pantai Mek Mas, Kota Bharu kerana kebanyakan peninju yang ingin berguru Muay Thai di negeri ini adalah dalam kalangan peninju Eropah yang suka suasana pantai,” katanya ditemui di Kejohanan Boksing di Pantai Irama hari ini.

Dalam kejohanan itu, 26 jaguh dari seluruh Malaysia, Uzbekistan dan Thailand mempertaruhkan kekuatan masing-masing antaranya E-Wan Krating, Kudin Raja Jerung, Pak Chu Anak Naga, Fix Raja Buah dan Ebroheng Yeekaroba.

Selain pertandingan tinju, kejohanan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah barangan kemas dan dua motosikal iaitu Yamaha Y15 dan Yamaha NVX yang menjadi tradisi dalam kejohanan boksing.

Mohd Fared berkata, pihaknya memperjuangkan boksing dan Muay Thai kerana sukan lasak itu ada ramai peminat serta berpeluang besar menjadi tarikan pelancongan di negeri itu.

“Kejohanan malam tadi juga berjaya mengumpul lebih 10,000 pengunjung walaupun tiket berharga RM15 dan RM50 untuk VIP,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 12:28am
d