mutakhir

RM100 juta dana untuk pendidikan

Oleh Mohd Rafi Mamat

YAYASAN Pahang (YP) menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta setiap tahun bagi membantu golongan pelajar dalam bidang pendidikan peringkat rendah, menengah dan universiti.

Pengerusinya, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, kemudahan yang disediakan ialah biasiswa sekolah rendah dan menengah, pembiayaan pinjaman serta program kecemerlangan pendidikan.

Katanya, program lain yang turut diberi keutamaan setiap tahun termasuk aktiviti sukan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, kemasyarakatan serta keagamaan.

“Sejak Yayasan Pahang ditubuhkan pada 1982 sebanyak RM1.2 billion dibelanjakan untuk kemudahan pendidikan kepada 1.5 juta anak Pahang di semua peringkat pengajian.

“Sebanyak 60 peratus dana pendidikan dikumpul menerusi hasil perladangan kelapa sawit yang diusahakan oleh anak syarikat Yayasan Pahang iaitu YP Plantations Sdn Bhd,” katanya pada Majlis Penyampaian Zakat Pendidikan di Kompleks Yayasan Pahang Tanjung Lumpur, di Kuantan, hari ini.

Program julung kali diadakan itu hasil kerjasama Yayasan Pahang, Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturrahim Pahang (UKHWAH).

Seramai 236 murid kurang berkemampuan dari 39 sekolah rendah di daerah ini menerima bantuan berkenaan, masing-masing menerima RM300.

Beliau berkata, sokongan syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam usaha membantu kerajaan negeri membela nasib golongan berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan.

Bagi Mohd Hamdan Abdul Hamid, 44, bantuan zakat pendidikan yang diterima dapat membantu meringankan beban kewangan menyara persekolahan anaknya, Muhammad Afiq Aiman, 9, yang kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balok, di sini.

“Sebelum ini, anak saya menerima bantuan persekolahan yang disediakan Yayasan Pahang dan hari ini bantuan sama diterima, kemudahan diberikan itu begitu bermakna.

“Dengan bantuan sebanyak RM300 dapat meringankan beban saya yang hanya bekerja sebagai tukang kebun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 10:24am
d