mutakhir

'Saya mahu jadi doktor'

Oleh Mohd Rafi Mamat

“IMPIAN saya ialah menjadi doktor walaupun peluang melangkah ke menara gading masih lagi samar kerana kemiskinan.

“Saya bergantung sepenuhnya kepada permohonan biasiswa untuk menyambung pengajian. Kalau lulus bolehlah sambung belajar, ” kata Abdul Manaf Abdul Aziz, 18.

Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Pahang mendapat keputusan 10A itu masih menunggu keputusan permohonan biasiswa beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada biasiswa yang dipohon untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan yang diminati sejak kecil lagi.

“Saya ingin membela nasib keluarga yang hidup dalam kemiskinan, tanpa pendapatan tetap melakukan kerja kampung ayah, Abdul Aziz Osman, 60, berusaha membesarkan kami lima beradik.

“Saya ingin buktikan anak keluarga miskin luar bandar serba daif yang berteduh di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Temai Tengah, mampu berjaya dalam bidang akademik dan kerjaya,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Dia berkata, kehilangan ibu, Hasliza Amanah tahun lalu disebabkan masalah buah pinggang turut menjadi pendorong kuat kepadanya untuk memburu cita-cita sebagai doktor.

Abdul Manaf berkata, dia ingin menjadi pakar dalam bidang otak dan saraf.

Menurutnya, walaupun impian itu agak sukar namun dia yakin dengan kesungguhan yang tinggi, tidak mustahil impian menjadi kenyataan dengan berkat sokongan semua pihak.

“Selain biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya juga memohon biasiswa Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Negara, Yayasan Pahang (YP) dan Petronas. Semua permohonan belum dapat keputusan.

“Setiap hari saya berdoa supaya permohonan biasiswa berkenaan diluluskan bagi memberi peluang kepada saya melanjutkan pengajian keluar negara seterusnya bergelar doktor suatu hari nanti.

“Saya tidak mampu untuk membuat pinjaman bagi melanjutkan pengajian walaupun ia boleh dilakukan,” kata bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Pekan.

Abdul Manaf berkata, usaha kuat yang dilakukan tahun lalu membuahkan kejayaan membanggakan pada peperiksaan SPM apabila memperoleh keputusan 10A dan pencapaian itu diharap dapat dikekalkan selepas ini sekiranya berjaya melangkah ke menara gading dalam bidang perubatan.

“Namun sekiranya permohonan gagal, saya akan menyambung dalam bidang kejuruteraan yang menjadi pilihan kedua, justeru saya merayu kepada agensi pemberi biasiswa supaya dapat mempertimbangkan permohonan saya, ” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 10:26am
d