mutakhir

Perbanyak program pengimarahan masjid

Oleh Yusmizal Dolah Aling

LEBIH banyak program pengimarahan masjid akan diadakan sebagai daya penarik kepada orang ramai khususnya umat Islam mendekati rumah Allah.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, mengambil contoh Subuh Perdana yang diadakan pagi tadi, ia akan disusuli dengan pelbagai program di masjid lain selepas ini.

Katanya, bersempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Pusat Pungutan Zakat akan melaksanakan program berkaitan untuk menarik minat orang ke masjid.

“Kita lihat projek perintis hari ini cukup mendapat sambutan. Kira-kira 2,000 orang hadir. Kita mahu di tempat lain juga begini, Insya-Allah,” katanya selepas program Subuh Perdana di Masjid Khalid bin Al Walid, Kementerian Pertahanan hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, ilham program itu dicetuskan Ismail dan JAWI merealisasikan di masjid dalam Wilayah Persekutuan sebagai permulaan.

Katanya, fokus selepas ini ialah masjid yang kekurangan jemaah untuk diimarahkan termasuk penyertaan daripada penduduk setempat itu.

“Di dalam perbincangan sebelum ini, kita sudah mengenal pasti beberapa masjid untuk Subuh Perdana seterusnya, kita mengharapkan orang ramai akan turut serta kerana kita adakan sesi lain juga seperti kuliah subuh dan solat Dhuha,” katanya.

Menurutnya, ia akan diperluaskan ke 84 masjid, 528 surau, dan 110 surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 11:42am
d