mutakhir

'Alhamdulillah, duit sudah cukup'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“ALHAMDULILLAH duit untuk membeli mesin oksigen, topeng gas dan peralatan membuang kahak sudah cukup, terima kasih kepada semua yang membantu,” kata Nurul Hana Zakaria, 26.

Ibu kepada bayi Sindrom Down, Muhammad Nazmi Ammar berusia 10 bulan yang mengalami masalah paru-paru sempit sejak lahir itu berkata, dia sangat bersyukur dengan keprihatinan orang ramai selepas kisah anaknya disiarkan di akhbar.

Katanya, wang yang diperoleh akan dimanfaatkan untuk membeli mesin dan peralatan dengan segera sebelum mesin oksigen yang dipinjamkan doktor dikembalikan tidak lama lagi.

“Saya menyemak jumlah wang bantuan dalam akaun bank malam tadi, Alhamdulillah sudah mencukupi, saya tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan semasa tengok duit itu sudah cukup.

“Sekarang saya cuma mengharapkan doa rakyat Malaysia semoga kesihatan Nazmi bertambah baik selepas ini.

“Terima kasih juga kepada Harian Metro kerana melaporkan kisah Nazmi yang sangat memerlukan bantuan supaya dapat bernafas dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Nazmi terpaksa bergantung kepada mesin oksigen elektrik yang dipinjamkan oleh seorang doktor di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu kerana masalah dihidapinya.

Selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut mempunyai masalah jantung berlubang dan tiroid.

Harian Metro semalam melaporkan Nurul Hana dan suaminya, Ammar Abd Razak, 29, sebelum ini resah kerana perlu memulangkan mesin itu tidak lama lagi, sedangkan mereka masih tidak mampu membeli mesin oksigen baharu bernilai RM8,000.

Selain itu, mereka perlu membeli topeng oksigen yang berharga RM3,000 dan alat cair kahak dengan kos kira-kira RM2,500.

Berita berkaitan

'Sokongan anda buat kami kuat'

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 11:54am
d