mutakhir

Ini tanda protes - calon Bebas [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

CALON Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R Malarvizhi menarik perhatian apabila mengenakan sepit baju di bibir ketika menemui pengundi, hari ini.

Tindakannya mengepit bibir dengan sepit baju berwarna putih sambil mengedarkan kad kempen kepada pengunjung di Pasar Malam Pekan Rantau pada mulanya menimbulkan tanda tanya sehingga ada yang tertawa melihatnya.

Menjelaskan tindakannya itu, suri rumah yang juga bekas penyampai radio di Toronto, Kanada berusia 51 tahun itu berkata, dia mempunyai mesej tersirat yang perlu difahami pengundi di sebalik tindakannya itu.

“Saya akan memakai sepit baju atau pelekat di mulut selama dua hari sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan dan pembangkang yang tidak membenarkan calon mereka bercakap di dua PRK sebelum ini.

“Ketika PRK Cameron Highlands, Barisan Nasional (BN) tidak benarkan calon mereka bersuara dan perkara sama dilakukan pula pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika PRK Semenyih.

“Sebab itu selama dua hari ini saya akan ‘mengunci’ mulut sebagai tanda protes terhadap tindakan mereka itu.

“Selepas dua hari, barulah saya akan bercakap termasuk melancarkan manifesto di pasar malam ini pada jam 8 malam Selasa ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ditanya mengenai mesej memohon sumbangan yang tertera pada kad kempen diedarkan, Malarvizhi berkata, ia hanya akan digunakan untuk kempen pilihan rayanya sehingga hari pengundian 13 April ini.

“Saya mungkin memerlukan sekitar RM10,000 untuk tujuan kempen dan berharap orang ramai dapat menyumbang.

“Sekiranya ada lebihan wang, saya sedia mengisytiharkannya kerana mahu bersikap jujur dengan penyumbang,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 6:58pm
d