mutakhir

Penunggang maut motosikal bertembung

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KAKITANGAN sebuah hotel maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan di Jalan Tanjung Minyak, Melaka hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, Muhammad Ameerul Rashid Amran, 25, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal Honda Wave, Nur Syuliyana Mohd Yassin, 18, parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati, motosikal Honda Wave ditunggang Nur Syuliyana datang dari arah lampu isyarat Bukit Rambai menuju ke Tanjung Minyak.

“Motosikal ditunggang remaja terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang Muhammad Ameerul secara berdepan.

“Akibat pertembungan itu, Muhammad Ameerul mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Syuliyana parah di kepala dan dihantar ke Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat Muhammad Ameerul dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 10:03pm
d