mutakhir

Padah hantar video seks, lucah

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga individu dalam serbuan untuk mengekang penyalahgunaan media sosial.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM Datuk Mohd Shafie Harun berkata, semua individu itu ditahan atas kesalahan menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan jelik dan video seks serta lucah melalui aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan niat mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas sejumlah 16 barang kes berupa kad sim, kad memori, telefon bimbit, cakera keras luaran (external hard disk) dan komputer riba selain penemuan gambar lucah dan video seks berkaitan kes yang disiasat.

“Operasi serbuan kali ini tertumpu kepada empat lokasi iaitu di Bangi, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. “Serbuan terbaru ini dibuat selepas SKMM menerima aduan daripada orang ramai dan menyusul hanya seminggu selepas serbuan sama dijalankan di 11 lokasi di beberapa negeri lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shafie kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Kandungan yang diterima dalam telefon pengadu dan kad sim serta telefon bimbit perlu diserahkan kepada Jabatan Forensik Digital SKMM untuk analisa forensik digital.

Sehingga semalam, SKMM menerima 110 kes berkaitan salah guna media sosial manakala tahun lalu saja 237 kes direkodkan. Selain itu 710 barang kes disita dari 2018 sehingga semalam.

Kes berprofil tinggi seperti penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW atau institusi diraja diberi keutamaan ‘satu’ untuk diselesaikan dalam dua hingga empat minggu manakala kes keutamaan ‘dua’ harus diselesaikan dalam 12 minggu sementara kes keutamaan ‘tiga’ dalam 24 minggu.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata, kempen advokasi di seluruh negara menerusi program ‘Klik Dengan Bijak’ akan terus diperhebatkan bagi menyemai penggunaan Internet secara berhemah dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini.

Pengguna media sosial juga dinasihatkan membuat aduan kepada SKMM jika ada maklumat berkenaan isu salah guna media sosial dengan menyalurkannya ke ​​​​​​​talian 1800-188-030, emel (aduanskmm@mcmc.gov.my), WhatsApp (016-2206 262), SMS (15888) dan Twitter (@MCMCReact).

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 10:35pm
d