mutakhir

Empat buaya tembaga ditangkap [METROTV]

Oleh Norsyazwani Nasri

EMPAT buaya tembaga sepanjang 4.88 meter hingga 5.49 meter yang menghuni Sungai Batang Kayan, Kampung Selampit, Lundu berjaya ditangkap penduduk, kelmarin.

Reptilia itu ditangkap pada 3 petang oleh tiga penduduk yang mempunyai lesen menangkap, memproses dan menjual buaya menggunakan kaedah pancing.

Penghulu Kawasan Selampit, Longar Mised, 58, berkata, buaya itu dibawa ketiga-tiga individu terbabit ke tebing sungai untuk dimusnahkan.

“Difahamkan populasi buaya tembaga dan buaya katak semakin bertambah di Sungai Batang Kayan dan kira-kira 3,000 penduduk bimbang dengan ancaman buaya di sepanjang sungai itu.

“Penduduk yang kebanyakannya menetap berhampiran tebing sungai resah kerana kemungkinan ‘sang bedal’ berkenaan menyerang mereka,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan pemusnahan buaya itu dilakukan bagi mengurangkan populasi buaya kerana terdapat beberapa kes penduduk dibaham buaya.

Katanya, ia dilakukan sebagai langkah keselamatan kerana kebanyakan penduduk di sepanjang sungai Batang Kayan bergantung kepada sungai sumber rezeki utama.

“Akibat populasi buaya ini bertambah, penduduk tidak berani turun ke sungai.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terdapat lebih 1,200 buaya berada di sepanjang sungai Batang Kayan.

“Saya berharap pihak berkaitan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan populasi buaya di situ,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 1:22am
d