mutakhir

Sirah Nabi memikat juri

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Biarpun hanya berlatih seminggu sebelum pertandingan, kumpulan nasyid kategori pendidikan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, Tumpat muncul johan dalam Festival Amal Nasyid Terbuka 2019, malam kelmarin.

Lebih menarik, kumpulan itu dianggotai lapan pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun daripada aliran pendidikan khas yang mengalami masalah pembelajaran.

Guru Pendidikan Khas SMK Geting, Warah Husin, 55, berkata, walaupun ada antara mereka tidak boleh membaca selain menghadapi masalah untuk mengingati setiap rangkap lagu, disiplin diri berjaya mengatasi kekangan berkenaan.

“Lagu nasyid dipersembahkan mereka bertajuk Sirah Nabi ciptaan saya sendiri. Mereka mengambil tempoh masa agak lama untuk menghafal selain mengingati bait setiap rangkap lagu.

“Kadangkala, satu rangkap lagu mengambil masa seminggu untuk mereka mengingatinya dan sebagai guru yang sudah lebih 10 tahun mengajar pelajar berkeperluan khas, ia bukan perkara baru yang perlu ditempuhi.

“Pada masa sama, saya juga perlu menjadi model kepada mereka dengan menunjukkan gaya menyanyi bagi memudahkan ia diingati pelajar istimewa ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Kemenangan itu membolehkan SMK Geting membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta medal dan piala yang disampaikan Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Ahmad Yani Muhammad.

Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi turut dihadiri Timbalan Pengarah JPN, Abdullah Mat serta Penaung Pertubuhan Membantu OKU Negeri Kelantan (IHSAN), Datuk Wan Rosdi Mat Rasid.

Festival nasyid anjuran IHSAN dengan kerjasama JPN disertai 16 sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri.

Naib johan Kategori Pendidikan Khas disandang SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas dan tempat ketiga dimenangi Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wakaf Bharu.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing memenangi wang tunai RM500 dan RM300 berserta medal dan piala.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 6:00am
d