mutakhir

Monyet cari makan di taman rekreasi

Oleh Asrol Awang

KEMUNCULAN sekumpulan monyet sejak beberapa bulan lalu di Taman Bandar, di Kuantan, mengundang kebimbangan pengunjung yang datang untuk beriadah bersama keluarga di situ.

Haiwan terbabit bukan sahaja menyelongkar tong sampah, malah ada yang bertindak mengganggu pengunjung yang beriadah dan berjoging.

Pelajar, Kamarulzaman Kamaruddin, 16 dari Indera Mahkota, di sini berkata, dia yang sering berjoging di taman itu tidak selesa dengan kemunculan monyet terbabit.

“Saya pernah melihat kanak-kanak berusia empat tahun dikejar haiwan itu yang ingin merampas makanan dipegang.

“Nasib baik bapa kanak-kanak itu sempat menyelamatkan anaknya... kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan segera itu adalah bagi mengelak insiden tidak diingini yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pengunjung,” katanya.

Hashimah Mohamed, 35 dari Semambu berkata, sebelum ini, dia tidak pernah melihat haiwan terbabit berada di taman berkenaan.

“Tapi saya terkejut apabila melihat beberapa ekor monyet berada di taman ini dan tidak takut dengan kehadiran pengunjung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya mengakui ada menerima aduan daripada pengunjung berhubung kehadiran monyet di taman rekreasi berkenaan.

“Kita menasihati pengunjung supaya berhati-hati dan tidak mendekati haiwan itu bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama, pengunjung juga diminta tidak memberi makanan kepada haiwan itu kerana ia mungkin menambahkan lagi jumlah kehadiran haiwan terbabit di Taman Bandar,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 12:44pm
d