mutakhir

Guna pintu kebal elak diserbu

Oleh Hasbi Sidek

SELAIN hanya membenarkan pelanggan tetap dan dikenali sahaja untuk masuk ke premis, pusat judi atas talian di Taman Equine, di Serdang, turut menggunakan pintu besi berakses sebagai langkah berjaga-jaga daripada diserbu.

Bagaimanapun, modus operandi premis yang menjalankan kegiatan haram itu dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Dadu, petang semalam.

Ketua Operasinya, Asisten Superintendan Rozam Effandy Raslee berkata, operasi yang bermula 3 petang itu hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya.

“Ketika pemeriksaan di premis ini, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai penjaga.

“Pemeriksaan lanjut, pihak merampas empat unit tablet, sebuah modem dan wang tunai berjumlah RM150,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, premis yang beroperasi secara haram sejak dua bulan lalu itu diawasi menggunakan pintu kebal serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Jelasnya, penjaga premis hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja untuk masuk selain menawarkan pertaruhan serendah RM10.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 1:58pm
d