mutakhir

Ibu Pengarang Berita HM meninggal akibat kanser hati

Oleh Faliq Lajim

JENAZAH ibu Pengarang Berita Harian Metro (HM), Badrila Jamlus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Manggis, Banting, pagi tadi.

Allahyarham Ainon Sabuddin, 77, menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga di Kampung Sungai Manggis, akibat kanser hati, jam 12.35 tengah malam tadi.

Badrila, 45, berkata, Allahyarham disahkan menghidap kanser tahap dua Mei tahun lalu dan sudah bertarung dengan penyakit itu hampir setahun.

“Arwah mendapatkan rawatan kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), namun kanser itu terus merebak. Pada 11 Mac lalu, arwah dibawa pulang ke rumah keluarga dan kesihatannya mula merosot.

“Semalam, kami membawanya ke Hospital Banting jam 7.30 petang. Apabila ujian darah dilakukan, hospital memaklumkan buah pinggang arwah sudah rosak dan harapan sembuh itu tiada.

“Kami adik beradik kemudian sepakat membawa arwah pulang ke rumah kira-kira 10 malam, sebelum disahkan meninggal dunia 12.35 tengah malam, ” katanya.

Badrila berkata, keluarga reda dengan ketentuan Ilahi kerana ibunya sudah bertarung dengan penyakit itu agak lama.

Terdahulu, Allahyarham Ainon disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Manggis, Banting.

Turut hadir, beberapa Pengarang Berita HM iaitu Adam Salleh, Sufian Thauri Muhammad dan Ahmad Saufi Mansor.

Allahyarham Ainon meninggalkan empat anak dan 16 cucu.

Pada April 2017, suaminya iaitu Allahyarham Jamlus Mohd Yusof meninggal dunia akibat kanser sama dan turut dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 2:19pm
d