mutakhir

Tiga hari terperangkap

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di koridor bangunan setinggi 6.1 meter di Jalan Kota, Alor Setar, hari ini.

Pegawai Operasi APM Kota Setar, Leftenan (PA) Mohammad Rizal Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10 pagi berhubung kucing yang terperangkap itu.

Beliau berkata, seramai lima anggotanya bergegas ke lokasi untuk menurunkan kucing berkenaan di koridor dan haiwan itu nyaris terjatuh.

“Anggota kami menggunakan tangga untuk memanjat pada ketinggian 6.1 meter dengan berhati-hati dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengambil kucing berkenaan.

“Berdasarkan maklumat orang awam, kucing itu sudah berada di situ sejak tiga hari lalu dalam keadaan lapar dan tidak bermaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rizal berkata, kucing itu akhirnya dibawa turun anggotanya dan diserahkan kepada pemiliknya tidak lama kemudian.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 2:44pm
d