mutakhir

Anak gajah diselamatkan

Oleh Farah Suhaidah Othman

SEEKOR anak gajah jantan berusia tiga tahun dipercayai terpisah daripada kumpulannya diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak di Kampung Chepor, Ipoh hari ini.

Pengarahnya, Yusof Shariff berkata, anak gajah yang berukuran lilit kira-kira 20 sentimeter itu ditangkap Rabu lalu kerana dipercayai terpisah daripada ibu atau kumpulannya.

Beliau berkata, pihaknya bimbang haiwan itu berkeliaran di kawasan kampung dan mengancam tanaman kelapa sawit serta ladang getah penduduk kampung.

“Gading anak gajah itu baru tumbuh dan kita anggarkan usianya tiga tahun.

“Anak gajah itu dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, usaha untuk menjejaki gajah itu dijalankan 24 Februari lalu dan ditemui tiga hari kemudian.

“Meskipun hujan lebat pagi tadi, namun PERHILITAN berjaya menarik keluar anak gajah berkenaan sejauh 1.5 kilometer (km) dan akan dipindahkan ke Kuala Gandah, Pahang.

“Kita bimbang pada usia muda, haiwan itu tak mampu hidup dalam hutan besar,” katanya sambil menyatakan kemungkinan haiwan itu dipindahkan ke Kuala Gandah esok.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 5:34pm
d