mutakhir

Harap anak saya dibebaskan segera - Bapa Doan

Oleh Sarah Zulkifli

“SAYA harap anak perempuan saya dibebaskan segera dalam masa sebulan, saya sangat gembira.”

Itu reaksi bapa wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong, Doan Van Thanh ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Van Thanh berkata demikian menerusi jurubahasa Vietnam ketika sidang media selepas tamat prosiding membabitkan anak perempuannya yang dihukum penjara tiga tahun dan empat bulan oleh Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Doan mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif, menyebabkan kecederaan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam atau Kim Chol, menggunakan senjata berbahaya.

Sebelum ini, Doan berhadapan dengan hukuman mati mandatori selepas didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh Kim Chol.

Van Thanh berkata, dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pengamal media dan peguam bela yang mewakili anaknya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan dan peguam di sini,” katanya yang kelihatan tenang ketika sidang media itu.

Dalam pada itu, Duta Vietnam ke Malaysia, Le Quy Qunh yang turut hadir pada prosiding itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, di atas kelancaran proses pendakwaan Doan itu.

“Terima kasih kepada kepada Jabatan Peguam Negara, pasukan pendakwaan, pasukan pembelaan dan kerajaan Malaysia.

“Apa yang boleh saya katakan Doan adalah mangsa dalam kes ini seperti apa yang berlaku pada Siti Aisyah,” katanya.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 7:05pm
d