mutakhir

Dua produk kosmetik ada racun berjadual

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

ORANG ramai diminta berhenti membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual, diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan adalah Bao Fu Ling Snow Lotus Cream dan Bao Fu Ling Skincare Cream

Beliau berkata, notifikasi produk kosmetik berkenaan dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalamnya.

“Produk mengandungi diphenhydramine adalah produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan digunakan untuk memberikan kelegaan sementara bagi kegatalan serta kesakitan akibat gigitan serangga, selaran matahari yang ringan dan kerengsaan kulit.

“Selain itu, penggunaannya tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan boleh menyebabkan kesan alahan teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Katanya, penjual diingatkan iaitu penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh diemel kepada kosmetik@npra.gov.my.

Pengguna dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman web rasmi NPRA http://www.npra.gov.my.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 7:12pm
d