mutakhir

Sila jangan bantu, nanti kena pecat [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

AHLI Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat menyokong kempen calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin yang dipecat keahlian parti itu Sabtu lalu, turut berdepan tindakan sama.

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar menegaskan, parti itu tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang menyalahi peraturan.

“Pemecatan Mohd Nor yang berdaftar keahliannya sebagai ahli biasa di cawangan baru di Kampung Sega, Rantau pada Mac lalu itu sudah pun dimaklumkan kepada AMANAH Pusat yang serta-merta memecatnya sebaik saja selesai penamaan calon Sabtu lalu.

“Kita tidak tahu punca dia bertindak demikian tetapi ingin mengingatkan ahli lain supaya tidak membantu kempennya atau mereka juga akan dipecat serta-merta,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di Rantau, hari ini.

Ditanya sama ada AMANAH negeri ada menghubungi calon berkenaan, Zulkefly berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana Mohd Nor hanya ahli biasa.

“Fokus kita sekarang untuk membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi PRK kali ini,” katanya.

Pagi tadi, Harian Metro melaporkan calon Bebas

itu masih belum memulakan kempennya biarpun sudah masuk hari ketiga berkempen hari ini dengan alasan masih menyusun persiapan kempen yang dijangka bermula esok atau lusa.

PRK kali ini akan menyaksikan persaingan empat penjuru antara Mohd Nor dengan calon PH Dr S Streram, penyandang kerusi kawasan Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi calon Bebas, R Malarvizhi, 51.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 7:37pm
d