mutakhir

Pemandu tercampak ke tempat duduk penumpang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, Seremban, hari ini.

Mangsa, Mohd Nazrin Abdul Aziz, 25, yang memandu kereta Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Nissan Almera, Muammar Musa, 30, cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang, Azizee Alias berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.20 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dari arah Kuala Pilah menghala Seremban dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan berpusing menyebabkan berlaku pelanggaran dengan Nissan Almera.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu Nissan Almera masih tersepit di dalam kereta. Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, pemandu Proton Wira berada di tempat duduk penumpang belakang dipercayai tercampak. Mangsa disahkan meninggal dunia dan kes diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 9:18pm
d