mutakhir

530 kes denggi di Melaka

Oleh Nur Saliawati Salberi

MELAKA mencatatkan sebanyak 530 kes denggi bagi tempoh 13 minggu pertama tahun ini, iaitu meningkat sebanyak 381 kes berbanding hanya 149 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, sebanyak tiga kematian akibat denggi turut direkodkan di negeri ini sehingga 30 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes denggi tertinggi dengan 397 kes dan diikuti daerah Alor Gajah (73 kes), manakala daerah Jasin (60 kes).

“Sehingga minggu ke 13 juga terdapat sebanyak 37 lokaliti wabak dikesan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Leong berkata, daripada keseluruhan lokaliti wabak yang dikesan, hanya lapan yang dilaporkan masih aktif sementara selebihnya sudah tamat.

Beliau berkata, lokaliti wabak dikenal pasti ialah di Taman Ayer Keroh Heights; Taman Tasik Utama C; Taman Maju Fasa 4; Lorong Bukit Piatu 1; Taman Melaka Perdana; Taman Saujana Indah; Taman Limbongan Permai dan Taman Tasik Utama.

“Orang ramai perlu memainkan peranan dengan memastikan persekitaran kediaman dan kawasan tempat tinggal berada dalam keadaan selamat.

“Kesedaran orang awam dalam menangani denggi adalah amat penting berbanding perawatan selapas dijangkiti,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 10:12am
d