mutakhir

'Tumbuk bini, sebab...'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

HANYA kerana enggan pulang ke rumah mereka menyebabkan seorang wanita ditumbuk di kepala beberapa kali oleh suaminya yang menyerang mangsa di kediaman keluarganya di Taman Tunku Putra, di Kulim, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek berusia 31 tahun datang ke rumah itu dalam keadaan mabuk dan mengajak isterinya berusia 27 tahun pulang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek ketika itu turut memarahi mangsa dan memaksanya pulang.

Namun, wanita terbabit enggan kerana dipercayai tidak tahan dengan sikap tidak bertanggungjawab dalam menyara kehidupan.

Menurutnya, berang dengan isterinya, suspek bertindak menumbuk kepala mangsa beberapa kali dan memecahkan cermin rumah.

“Suspek bagaimanapun dapat ditahan selepas polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami lebam di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek yang yang tidak bekerja itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 12:56pm
d