mutakhir

Siri nombor pendaftaran KES bermula [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah membuka tender tempahan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan KES 1 hingga KES 9999 kepada orang awam bermula semalam hingga 12 tengah hari, 15 April ini.

Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, sebanyak RM1.5 juta nilai bidaan disasarkan bagi keseluruhan nombor pendaftaran siri itu.

“Sasaran itu diletakkan susulan sambutan memberangsangkan pada siri nombor pendaftaran lalu seperti KEN yang mengutip RM4.13 juta, KEE (RM1.87 juta) dan KER (RM1.16 juta) yang menjadi antara siri nombor pendaftaran dengan kutipan tertinggi bagi JPJ negeri ini.

“Selain itu juga, bidaan tertinggi bagi ketiga-tiga siri ini direkodkan membabitkan siri KEN 1 iaitu sebanyak RM510,000 manakala bagi KEE 1 pula adalah RM308,000 dan KER 1 adalah sebanyak RM132,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di Alor Setar, hari ini.

Katanya, seperti biasa, terdapat empat kategori harga tempahan ditetapkan kepada orang ramai yang mahu menempah nombor pendaftaran KES.

“Bagi kategori nombor bernilai utama (golden number), harga minimum untuk tender adalah RM10,000 manakala minimum bagi kategori nombor menarik adalah RM2,000.

“Dalam pada itu juga, harga RM300 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri itu yang membabitkan kategori nombor popular dan nombor biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu bagi menguruskan urusan tempahan nombor pendaftaran dan semua urusan berkaitan adalah secara terus antara orang awam dan JPJ.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.

Sejak siri nombor pendaftaran itu dibuka semalam, ia sudah pun menerima tempahan yang memberangsangkan dan dijangka akan meningkat sehingga tarikh tutupnya nanti.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 1:00pm
d