mutakhir

Beri mandat kepada Streram - TPM

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

CALON Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram perlu diberikan mandat mewakili Rantau bagi mengukuhkan penguasaan PH dalam kerajaan negeri.

Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana keadilan yang diperoleh pakar bius itu adalah isyarat untuk rakyat memberi peluang kepada Dr Streram mewakili mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Momentum keadilan yang dicapai perlu dikekalkan pengundi Rantau selepas mahkamah membuat keputusan berpihak kepada Dr Streram yang berjuang kerana ketidakadilan.

“Kepelbagaian menyaksikan kita dianugerahkan dengan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Jadi undi calon nombor empat (Dr Streram),” katanya ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mambau, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan PH mahu rakyat bersama membantu pentadbiran negara membawa pembangunan kepada Malaysia selepas mengambil alih dari Barisan Nasional (BN).

“Beri kami (PH) peluang untuk betulkan negara selepas ditadbir BN selama 60 tahun,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau menyaksikan persaingan empat penjuru antara PH, BN dan dua calon bebas pada 13 April ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas mahkamah membatalkan kemenangan calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum Mei tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 11:45pm
    d