mutakhir

Budak lemas jatuh sungai

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KANAK-KANAK lelaki lemas selepas terjatuh dalam sungai di Kampung Masjid Pulau 3 Kiri, Kampung Gajah, Seri Iskandar, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa, Ahmad Salman Omar, 11, bermain di sekitar kawasan berkenaan sebelum terjatuh ke dalam Sungai Perak.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam.

Menurutnya, maklumat mendapati mangsa seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh dalam sungai, namun sudah ditemui dan dibawa naik ke tebing oleh orang awam.

“Pihak bomba dimaklumkan mangsa sudah ditemui orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bomba membantu pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 8.20 malam,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 11:51pm
d