mutakhir

Banjir kilat landa Jitra

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA kawasan di Jitra ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda bermula semalam.

Antara kawasan ditenggelami air adalah di Jalan Jitra ke Kepala Batas (hadapan pasar raya Yawata di Bandar Darulaman) dan Kampung Muhibbah.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, air di kawasan berkenaan naik pada 6.50 petang dan surut selepas 7.15 malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, anggota APM Kubang Pasu sentiasa bersiap sedia sekiranya menerima maklumat ada kawasan masih ditenggelami air berikutan hujan lebat terus melanda sekarang ini.

Katanya, hujan lebat dalam masa singkat menyebabkan limpahan air parit di Jalan Jitra-Kepala Batas selain air turut memasuki kawasan rumah di Kampung Muhibbah.

“Kami akan pantau di kawasan rendah dan berhampiran sungai selain kawasan kerap dilanda banjir sebelum ini.

“Setakat ini keadaan tidak membimbangkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamalruzamal berkata, setakat ini keadaan sungai masih di tahap normal dan tidak membabitkan paras air sungai meningkat.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 12:11am
d