mutakhir

JPNP sekat lombong haram

Oleh Mohd Rafi Mamat

SIKAP cuai dan mengambil mudah terhadap aspek keselamatan dan pelesenan antara punca 50 syarikat perlombongan gagal memperbaharui lesen melombong bijih emas dan besi di kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan di daerah ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pengusaha perlu memperbaharui lesen sebelum tamat tempoh kuat kuasa bagi mengelak tindakan undang-undang.

Katanya, syarikat perlombongan beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan akta pihak berkuasa lain.

Beliau berkata, lesen melombong bijih emas dan besi hanya dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), sementara permit penggunaan hutan simpan bagi jentera dan pekerja dikeluarkan jabatan perhutanan.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan syarikat dan individu yang terbabit dengan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal di negeri ini secara haram.

“Tindakan tegas menanti pihak terbabit, selain dikenakan denda peralatan dan jentera mereka turut akan dirampas,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan hari kedua operasi lombong 4.0 di daerah Lipis.

Program empat hari itu disertai kira-kira 180 pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan.

Selain kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, operasi turut disertai PTG; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Pejabat Daerah dan Tanah Lipis; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Badan Kawal Selia Air (BKSA); Jabatan Imigresen dan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Mohd Hizamri berkata, dalam tempoh dua hari operasi, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap lebih 55 lombong dalam kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan seluas 60,000 hektar di daerah ini.

Katanya, operasi itu turut berjaya menahan tujuh pekerja warga asing yang berada dalam kawasan lombong tanpa permit dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 11:45am
d