mutakhir

Rokok seludup bawah kaunter

Oleh Amran Yahya

PERBUATAN seorang peniaga menjual rokok seludup dipercayai untuk mengaut keuntungan mudah, akhirnya terbongkar hasil serbuan polis ke sebuah premis di pekan Air Mawang, Johol, Kuala Pilah, Ahad lalu.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, kira-kira pada 11 pagi itu adalah hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, ketika serbuan polis menahan lelaki berusia 53 tahun mengaku sebagai pemilik premis.

“Pemeriksaan menemui 66 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM3,300 disembunyikan di bahagian bawah kaunter bayaran.

“Lelaki itu ditahan untuk diambil keterangan, rokok berkenaan dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haslah berkata, kes dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 3:00pm
d