mutakhir

'Doakan saya berjaya menjadi doktor saraf, otak'

Oleh Mohd Rafi

MESKIPUN impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara tidak kesampaian kerana faktor kewangan, namun Abdul Manaf Abdul Aziz, 18 bersyukur kerana ditawarkan tempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.

Pelajar cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 itu berkata, dia tetap bersyukur dan terharu apabila diterima masuk ke UIAM.

“Ini peluang keemasan buat saya dan impian saya untuk menjadi doktor saraf dan otak suatu hari nanti akan menjadi kenyataan.

“Saya berharap semua pihak dapat mendoakan kejayaan anak-anak miskin yang serba kekurangan seperti saya,” katanya.

Tawaran itu disampaikan Pengarah UIAM kampus Kuantan, Prof Dr Kamaruzaman Yunus yang berkunjung ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Temai Tengah, Pekan, semalam.

Walaupun pada dasarnya sudah mendapat tempat di UIAM, namun, Abdul Manaf berkata, dia perlu menunggu keputusan permohonan dari Bahagian Kemasukan Pelajar (UPU) yang akan dikeluarkan bulan depan sebagai syarat kemasukan ke pusat pengajian tinggi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UIAM yang menawarkan tempat kepada pelajar miskin seperti saya dalam bidang yang diminati,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah bekas pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad (SHAH) Pekan itu yang menunggu keputusan permohonan biasiswa beberapa agensi kerajaan dan swasta untuk membolehkannya menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi.

Sementara itu, Dr Kamaruzaman yang ditemui berkata, walaupun pihaknya menawarkan tempat kepada Abdul Manaf, namun pelajar terbabit perlu menunggu keputusan UPU yang akan dikeluarkan nanti.

Katanya, Abdul Manaf akan ditawarkan tempat dalam program asasi di Pusat Asasi UIAM kampus Gambang, Kuantan selama setahun sebelum layak ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu.

Katanya, dengan keputusan cemerlang 10A yang diperoleh, Abdul Manaf mempunyai peluang cerah untuk diterima masuk ke UIAM.

“Saya yakin permohonan dia untuk menyambung pengajian ke UIAM akan diterima. Justeru, kita mengambil keputusan untuk menyerahkan borang tawaran bersyarat kepadanya.

“Kita akan membantu sepanjang pengajian bagi memastikan dia tidak berhadapan dengan masalah kewangan,” katanya.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Abdul Manaf ditawar ke UIAM'

'Saya mahu jadi doktor'

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 3:23pm
d