mutakhir

Penyokong Najib buat kecoh

Oleh Murni Wan Omar dan Mahaizura Abd Malik

PROSIDING perbicaraan hari pertama kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sedikit tegang apabila seorang penyokong Datuk Seri Najib Razak membuat kecoh di luar bilik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Difahamkan penyokong itu yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan berkelakuan sedemikian berikutan dilarang memasuki kamar bicara bagi mengikuti prosiding yang sedang berlangsung.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan arahan pihak mahkamah itu dengan nada marah dan kuat berkata:

“Jangan buat macam mahkamah rimba, tolong benarkan saya masuk dalam.

“Awak patut hormati mahkamah, saya tahu hak saya,” katanya.

Beliau kemudian ditenangkan anggota polis bertugas kerana tindakannya membuat bising mengganggu prosiding berkenaan.

Lelaki terbabit kemudian berundur dan meninggalkan ruang legar di hadapan bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah itu.

Hari ini adalah hari pertama perbicaraan Najib, 66, yang didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, Peguam Negara Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti bahawa Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam kes jenayah membabitkan dana SRC International Bhd.

Beliau berkata demikian melalui ucapan pembukaan yang dibacakan hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Perbicaraan hari ini menunjukkan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh melangkaui undang-undang.

“Perbicaraan ini juga akan menjadi peringatan kepada sesiapa yang memegang jawatan tertinggi negara,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 3:42pm
d