mutakhir

Kasut jadi petunjuk kesan anak

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEORANG kanak-kanak lelaki ditemui lemas di Sungai Perak di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah, semalam.

Terdahulu, pada 6 petang, mangsa Ahmad Salman Omar, 11, ke kawasan sungai berkenaan yang berhampiran rumahnya bersama rakan dan ibunya.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, sejam kemudian ibu mangsa pulang ke rumah manakala kanak-kanak terbabit bersama rakannya mandi di sungai.

Menurutnya, bapa mangsa kemudian keluar mencari anaknya di sungai berkenaan selepas menyedari Ahmad Salman masih tidak pulang ke rumah pada 7.20 malam.

“Ketika itu kawan mangsa sudah pulang ke rumahnya dan hasil pemeriksaan bapa mangsa hanya menjumpai kasut anaknya di tebing sungai.

“Dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhamad Zainal berkata, mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui terapung kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pada jam 8 malam dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, hasil siasatan awal kematian mangsa tidak berkaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.29 malam.

“Pihak bomba dimaklumkan mangsa sudah ditemui oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bomba membantu pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.20 malam,” katanya

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 3:54pm
d