mutakhir

Kami tak mampu buat apa..

Oleh Nor Amalina Alias

“SAYA pergi ke tandas sekejap saja, bila kembali ke dapur saya tengok api sudah terpercik ke dinding rumah,” kata peniaga, Nuraznida Aziz, 34.

Nuraznida, mangsa kebakaran membabitkan tiga rumah dalam kejadian jam 4 pagi tadi di Taman Binjai Manis, Ketereh, Kelantan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, sebelum kejadian dia sedang memanaskan minyak untuk menggoreng kerepek popia.

Sudah menjadi rutin hariannya bangun awal pagi untuk menggoreng kerepek popia sehingga subuh sebelum dijual kepada ejen antara 300 hingga 600 botol sehari.

“Cuma pagi tadi, saya terasa nak ke tandas sebelum terkejut melihat api marak.

“Saya cuba padamkan kebakaran itu namun gagal sebelum terus ke bilik mengejutkan suami untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Seorang lagi pemilik rumah, Che Siti Azizah Abdul Rahman, 65 berkata, ketika kejadian dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat tahajud bersama suaminya Wan Zain Wan Ahmad, 75.

“Ketika berada di bilik air, saya terdengar bunyi percikan api beberapa kali sebelum satu bunyi letupan kuat dan asap tebal dari rumah jiran. Saya terus bergegas mengambil beg mengandungi pengenalan diri dan dokumen penting.

“Saya terkilan tak sempat selamatkan 20 pakaian pelanggan yang sudah siap dijahit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.11 pagi.

“Seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Tunjong dan Pengkalan Chepa bersama tiga jentera terbabit dalam operasi pemadaman yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II,Wan Asri Wan Yaacob.

“Api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya jam 6.08 pagi. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 4:07pm
d