mutakhir

Lelaki amuk direman seminggu

Oleh Faliq Lajim

LELAKI yang ditembak kerana mengamuk di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi, Klang semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya memperoleh perintah reman ke atas suspek berusia 41 tahun itu hari ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek direman bermula hari ini sehingga Selasa minggu depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya kepada Harian Metro.

Shamsul Amar berkata, keadaan suspek kini dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Lelaki itu sudah sedarkan diri dan boleh bercakap kira-kira jam 12 tengah hari tadi,” katanya.

Harian Metro melaporkan lelaki itu cedera di perut selepas ditembak polis ketika mengamuk di hadapan bank berkenaan.

Ia susulan suspek berkenaan tidak boleh mengeluarkan wang jam 12.30 tengah hari sebelum beredar dan kembali ke bank berkenaan pada 2 petang dalam keadaan marah serta memegang pisau.

Anggota polis cuba menenangkan suspek selama 20 minit, namun, lelaki itu bertindak agresif dan mengejar seorang anggota polis serta cuba menikamnya.

Polis kemudian melepaskan empat das tembakan dan dua das mengenai perut suspek bagi mempertahankan diri sebelum lelaki itu dikejarkan ke HTAR untuk rawatan.

Berita berkaitan

'Anggota URB hanya mempertahankan diri'

'Amuk tak boleh keluar duit [METROTV]'

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 5:05pm
d