mutakhir

Longchamp dan Hermes tiruan dirampas

Oleh Iskandar Shah Mohamed

TINDAKAN empat premis menjual beg tangan tiruan berjenama di sekitar Klang mengundang padah apabila ‘dikunjungi’ Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Semua premis itu diserbu secara berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor, bermula 12.30 tengah hari.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azizan Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai penjualan barangan tiruan di empat premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjual beg tangan wanita jenama Longchamp dan Hermes yang disyaki tiruan.

“Ia membabitkan 1,334 unit beg yang dianggarkan bernilai RM38,063 dan dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

“Ia membabitkan kesalahan menawar untuk membekalkan apa-apa barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

“Sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap barangan manakala bagi individu, denda tidak lebih RM10,000 untuk setiap barangan,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 5:06pm
d