mutakhir

Caj kad kredit Najib antara bukti

Oleh Murni Wan Omar; Mohd Azam Shah Yaacob; Nur Lela Zulkipli dan Mahaizura Abd Malik

PEGUAM Negara Tommy Thomas memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antara bukti akan dikemukakan adalah kredit kad Datuk Seri Najib Razak pernah dicaj sebanyak AS$130,625 (RM532,918.17) bagi perbelanjaan di butik Chanel di Honolulu Amerika Syarikat.

Tommy berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurutnya, beban pihak pendakwaan sekarang adalah membuktikan kes terhadap Datuk Seri Najib Razak melampaui keraguan munasabah bahawa tertuduh bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Pendakwaan akan membuktikan tertuduh terbabit secara terus dengan keputusan pihak kerajaan berhubung pinjaman berjumlah RM4 bilion diterima SRC International Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

“Pendakwaan akan mengemukakan bukti terdapat cek dikeluarkan untuk kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Langgak Duta, Kuala Lumpur dan rumahnya di Pekan, Pahang termasuk kepada beberapa komponen Barisan Nasional,” katanya.

Tommy berkata, dalam membuktikan kes mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah pendakwaan akan mengemukakan beberapa bukti.

“Kami akan membuktikan pada 24 dan 29 Disember 2014 sejumlah RM27 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam peribadi Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

“Pendakwaan juga akan membuktikan 10 Februari dan 2 Mac 2015, RM10 juta milik SRC International dimasukkan ke dalam akaun peribadi tertuduh melalui akaun syarikat yang sama,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 5:45pm
d