mutakhir

Itu harga jual terbaik bagi Equanimity - Guan Eng

Oleh Hairulazim Mahmud

“IA harga terbaik, kami menyokong penjualan ini kerana sejak lapan bulan lalu, kerajaan terpaksa membayar RM14.2 juta untuk penyelenggaraan Equanimity,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, penjualan kapal mewah Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd (Genting) ataupun Syarikat Tujuan Khas (SPV) ‘membebaskan’ kerajaan daripada kos penyelenggaraan kapal mewah itu yang didakwa milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, penjualan kapal mewah berkenaan bermakna kerajaan tidak perlu lagi menanggung kos hampir RM2 juta setiap bulan untuk penyelenggaraan kapal yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kerajaan menyokong penjualan kapal mewah pada harga AS$126 juta (RM514 juta) itu kerana ia harga terbaik yang diterima sejak Equanimity diumum untuk dijual pada Oktober 2018,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas penjualan kapal Equanimity kepada Genting atau SPV pada harga AS$126 juta (RM514 juta) yang diumumkan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Dalam kenyataan hari ini, Tommy berkata, jumlah itu adalah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan sejak Oktober 2018, berbanding pelbagai tawaran dengan hanya sebilangan kecil saja yang melebihi AS$100 juta (RM408 juta).

Beliau berkata, walaupun penilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham AS$130 juta (RM530 juta) tidak dicapai, pulangan bersih kepada Kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya, walaupun tidak lebih baik daripada dijangkakan.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 6:02pm
d