mutakhir

Guan Eng tunjuk bukti pembelian aset

Oleh Hairulazim Mahmud

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini, mendedahkan surat tawaran pembelian Bangunan Malaysia di Hong Kong bernilai RM1.68 bilion selepas dicabar berbuat demikian oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pendedahan surat tawaran daripada firma guaman Hong Kong itu, bagi menolak dakwaan Wee kononnya tawaran diterima kerajaan untuk pembelian aset itu adalah dalam mata wang dolar Hong Kong (HKD), bukan Ringgit Malaysia.

Lim berkata, tawaran daripada bakal pembeli melalui firma guaman Hong Kong itu adalah yang tertinggi selepas kerajaan menerima pelbagai tawaran selepas mengumumkan mahu menjual aset itu menerusi tender terbuka.

Menurutnya, tawaran itu diterima ketika kerajaan belum lagi membuat tender terbuka secara rasmi, namun yakin tawaran yang lebih tinggi mampu diterima selepas itu.

“Semalam, saya sebut RM1.6 bilion, sebenarnya harga yang ditawarkan adalah RM1.68 bilion daripada syarikat guaman di Hong Kong yang terbukti secara hitam putih.

“Ini adalah perbezaan ketara berbanding harga jualan yang dibuat oleh kerajaan lalu secara rundingan terus pada nilai RM1.1 bilion, iaitu perbezaan sebanyak RM587 juta,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 peringkat dasar di Dewan Rakyat, Wee mempertikaikan tawaran berkenaan yang diumumkan Lim sebelum ini.

Pada 30 Mac lalu, Lim berkata, penjualan aset itu kini melalui proses tender terbuka antarabangsa dengan harga rizab RM1.6 bilion dan dijangka menerima bidaan yang lebih tinggi.

Beliau mendakwa tindakan dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menjual aset itu merugikan negara apabila harga rundingan terus yang ditawarkan sebelum 9 Mei 2018 adalah sebanyak RM1.1 bilion.

Sementara itu, Wee ketika ditemui menolak bukti dikemukakan itu sambil menganggap surat tawaran yang ditunjukkan itu hanyalah dokumen menyatakan firma guaman berkenaan berminat untuk membida aset itu pada harga RM1.68 bilion.

“Ini bukan surat untuk bida, ini surat menunjukkan minat untuk memasuki proses bidaan. Malah, tiada sebarang iklan tentang tender terbuka,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 6:12pm
d