mutakhir

Pantau laman web, media sosial antivaksin

Oleh Hairulazim Mahmud

KEMENTERIAN Kesihatan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (SKMM) untuk memantau laman web serta akaun media sosial golongan antivaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, golongan yang menolak vaksin di negara ini kurang satu peratus daripada jumlah penduduk.

Bagaimanapun, katanya, golongan itu dipantau bagi mengelakkan mereka menyebarkan maklumat tidak benar mengenai vaksin dan dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk tindakan.

“Ketika ini tidak ada sebarang organisasi yang dibentuk bagi mewakili golongan antivaksin seperti di luar negara.

“Kementerian Kesihatan turut bekerjasama dengan pakar perubatan serta badan bukan kerajaan yang aktif menyampaikan mesej sahih, tepat dan jelas berkaitan vaksin dan imunisasi seperti Persatuan Pediatrik Malaysia dan Medical Mythbusters Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-Tenggara) yang mahu tahu peratusan golongan antivaksin yang dikaji kementerian di negara ini.

Dr Lee berkata, kementerian menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat sahih kepada masyarakat mengenai pengambilan vaksin imunisasi.

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan jawatankuasa kerja berhubung kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi bayi dan kanak-kanak di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dalam waktu terdekat.

Ketika ini katanya, penelitian masih dijalankan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi yang berkaitan.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 6:12pm
d