mutakhir

Tidak boleh sahkan Adib dipukul, atau tidak

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli

SAKSI ke-28, Asisten Superintendan Lew Keng Joe yang menjalankan siasatan kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd memberitahu mahkamah hari ini, bahawa dia menerima arahan untuk menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.

Lew berkata, beliau menerima arahan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman untuk menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan selepas kes Muhammad Adib yang parah diserang dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, mendapat perhatian negara.

“IPK Selangor dan Bukit Aman menjelaskan akan cuba mengesan suspek di tempat kejadian yang mungkin melihat perkara sebenar pada awal pagi 27 November 2018.

“Polis kemudian mengklasifikasikan kes itu kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas kematian Muhammad Adib pada 17 Disember lalu,” ,” katanya.

Lew berkata demikian ketika memberikan keterangan pada hari ke-22 inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Lew memberitahu mahkamah, walaupun tiada kecederaan yang menunjukkan Muhammad Adib dipukul, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan bunuh.

Lew berkata, dia melihat gambar Muhammad Adib dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) yang menunjukkan tangan mangsa bengkak dan ada satu kesan lebam atas dada kanan, selain tiada cedera di bahagian muka.

“Saya berpendapat, jika mangsa dipukul semestinya ada cedera di muka. Jika pukul berkumpulan, mesti serangan dilakukan pada bahagian kepala, namun tiada kesan lebam pada kepala.

“Itu pendapat saya sendiri, saya tidak boleh sahkan dan kemudian meminta pendapat dengan pegawai atasan,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin.

Ketika disoal Faten mengenai laporan tular berhubung empat individu sebelum ini yang dikatakan mencederakan Muhammad Adib, saksi sama berkata, ‘tiada’.

FATEN: Adakah apa-apa keterangan yang mengaitkan mereka sebagai orang yang cederakan mangsa?

LEW : Tidak, puan. Tangkapan itu dibuat di Jasin, Melaka dan mereka ditahan bersabit dengan kes khianat One City Development Sdn Bhd. Selepas reman tamat dan melalui hasil soal siasat dan rakaman percakapan, memang mereka tak terbabit dalam kes ini.

FATEN: Saksi awak bolehkah mengecam wajah perusuh?

LEW: Tidak ada.

FATEN : Jadi, sehingga hari ini adakah polis dapat kesan?

LEW: Buat masa ini, masih tiada tangkapan lagi dan usaha masih dijalankan oleh polis.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN, pada 17 Disember tahun lalu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Selasa depan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 7:19pm
    d