mutakhir

Ruangan solat KLIA dijangka beroperasi Mei ini

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PENGGUNAAN ruang solat atau musolla di bahagian bumbung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka digunakan untuk solat Jumaat Mei depan dan bukan 5 April ini seperti yang tular di laman sosial.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) memaklumkan, inisiatif mewujudkan ruang solat itu adalah satu usaha pihaknya untuk memudahkan umat Islam, khususnya kakitangan lapangan terbang yang menghadapi kekangan masa, menunaikan solat di bangunan terminal.

Menurutnya, ruang solat ini juga akan dibuka bagi penggunaan orang ramai setelah siap dan mendapat kelulusan berkaitan.

“Kami menjangkakan yang ruang solat ini boleh beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Mei setelah mendapat kelulusan daripada pihak Pejabat Agama Daerah Sepang.

“Walaubagaimanapun, kami akan membuat pengumuman segera sekiranya sudah mendapat kelulusan lebih awal daripada yang dijangkakan,” katanya.

Katanya, sejak Disember tahun lalu, pihaknya menyediakan empat bas percuma iaitu dua di KLIA dan dua lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi kegunaan pengguna di terminal yang ingin menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad.

Menurutnya, perkhidmatan bas ini bermula 12.30 sehinga 1 tengah hari dan akan memulakan perjalanan sebaik penuh bergantung kepada waktu solat semasa.

Hari ini, tular beberapa gambar dan maklumat yang memaklumkan MAHB sedang menyiapkan ruang solat di bahagian bumbung KLIA bagi kegunaan solat Jumaat bermula 5 April ini.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 7:19pm
d