mutakhir

Perbicaraan sia-sia, membazirkan masa - Muhammad Shafee

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertikaikan kenyataan pembukaan yang dibaca Peguam Negara, Tommy Thomas ketika perbicaraan hari pertama kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Muhammad Shafee berkata, kenyataan itu tidak mengikut Seksyen 179 Kanun Prosedur Jenayah berikutan kesemua pertuduhan tidak dinyatakan secara jelas.

Katanya, sebagai orang yang dituduh, Najib mempunyai hak untuk mengetahui serta mengesahkan pertuduhan apa yang dikenakan terhadap dirinya.

“Namun, dalam kenyataan pembukaan dibaca peguam negara menerusi bahagian pertama, ia hanya menyebut bahawa anak guam kami menghadapi pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan penyelewengan wang.

“Ia sepatutnya disebut secara berasingan, namun dalam kenyataan pembukaan oleh peguam negara ia dirangkumkan secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Shafee berkata, susulan itu perbicaraan dihadapi Najib hari ini adalah sia-sia serta membazirkan masa.

Katanya, mereka juga menerima rungutan mengenai kenyataan pembukaan peguam negara itu yang rumit serta tidak boleh diterima.

“Malah, dalam bahagian kedua kenyataan pembukaan itu, ia kosong tanpa asas lebih berbaur politik.

“Jadi, perbicaraan hari ini tidak membawa apa-apa perubahan dan kami percaya akan menangi kes ini,” katanya.

Menurut Muhammad Shafee, esok pasukannya akan mengemukakan permohonan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, pasukannya juga menafikan cubaan untuk melengahkan perbicaraan membabitkan Najib.

“Hari ini, tiada cubaan daripada kami untuk melengahkan perbicaraan. Sebaliknya, apa yang kami lakukan adalah yang sepatutnya bagi seseorang yang dituduh melakukan jenayah.

“Sehingga akhir perbicaraan hari ini, pihak pendakwaan gagal memahami apa yang kami kehendaki dan maksudkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 7:41pm
d