mutakhir

Tiada solat hajat untuk Dr Streram [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram menafikan penularan bahan kempen parti oleh jenteranya berhubung program solat hajat dan bacaan Yasin untuknya, malam esok.

Sebaliknya, calon PKR itu berkata, pengedaran bahan kempen berbentuk risalah ‘Jom Solat Hajat Untuk Dr Streram’ di Masjid Imam Haji Kahar Rantau melalui WhatsApp itu sebagai fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

“Ia satu perbuatan yang tidak wajar, cara kempen yang jahat dan jentera parti akan membuat laporan polis mengenai perbuatan ini.

“Saya tidak tahu siapakah pihak yang membuat fitnah ini namun jika ia dibuat pihak sebelah sana (pembangkang) saya amat kesal kerana sering diburuk-burukkan walaupun melakukan perkara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kempen tinjauan mesra di pasar malam Medan Nusari, hari ini.

Sejak pagi tadi, media sosial ditularkan dengan bahan berbentuk risalah kempen melalui WhatsApp berhubung solat hajat khusus untukTimbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu pada program sambutan malam esok yang akan turut dihadiri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 8:00pm
    d