mutakhir

'Ibuku hero'

Oleh Hasbi Sidek

JERITAN seorang wanita menyelamatkan anak lelakinya daripada dilarikan individu tidak dikenali di kawasan parkir perumahan di Jalan Laksamana Permai 3, Taman Laksamana Permai, dekat Selayang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, suspek yang menaiki motosikal dikatakan menarik tangan kanak-kanak berusia empat tahun berkenaan, sebelum disedari ibunya yang baru keluar kereta.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek yang melarikan diri menggunakan motosikal sempat dikejar seorang lelaki sebelum ditahan dan diserahkan kepada polis.

“Ketika kejadian, ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 24 tahun sedang meletakkan kenderaannya di lokasi, manakala anaknya keluar dari kenderaan dan menunggunya di belakang kereta.

“Wanita itu kemudian ternampak seorang lelaki memegang tangan anaknya dan cuba membawa naik ke atas motosikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu menjerit memanggil nama anaknya dan sempat menolak kanak-kanak terbabit sebelum suspek terus beredar dari lokasi kejadian.

“Wanita itu segera memaklumkan kejadian kepada abangnya yang kebetulan berada berdekatan lokasi kejadian sebelum lelaki itu terus mengejar suspek menggunakan motosikal.

“Suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi sebelum pihak polis tiba dan menahannya,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 363 serta Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan seorang lelaki ditahan polis selain rakaman itu memaparkan suspek dikerumuni orang ramai mendakwa dia cuba menculik seorang kanak-kanak.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 8:17pm
d