mutakhir

Guru cedera, 3 pelajar maut kemalangan [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIGA pelajar lelaki maut, manakala dua yang lain cedera selepas dua kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi ke Bandar Penawar, Simpang FELDA Lok Heng di Kota Tinggi, petang hari ini.

Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Rahim Abdul Rani berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Myvi dan Proton Wira.

Katanya, seramai enam anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 6.31 petang hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita memandu kereta Perodua Myvi dari arah Penawar ke Kota Tinggi.

"Manakala, guru wanita bersama tiga pelajar itu pula menaiki kereta Proton Wira dari Semenchu ke FELDA Lok Heng," katanya.

Beliau berkata, tiga pelajar berusia 16 hingga 17 tahun yang maut itu bersekolah di Sekolah Menengah Luqman Hakim, FELDA Lok Heng.

Abdul Rahim berkata, guru yang juga pemandu Proton Wira mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

"Kejadian itu mengakibatkan seorang pelajar yang duduk di sebelah hadapan tersepit, manakala dua lagi pelajar tercampak keluar.

"Kesemua pelajar meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.

"Bagaimanapun, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan patah kaki dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada pihak hospital dan polis untuk tindakan seterusnya.

Katanya, operasi ditamatkan kira-kira jam 7.40 malam tadi.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 9:36pm
d