mutakhir

'Ayah tak ada duit'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“SELEPAS saya dan ayah dihalau keluar dari rumah kawan ayah, kami terpaksa menumpang tidur di surau. Kadang-kadang kami tidur dalam bot nelayan sebab tidak ada rumah.

“Saya juga terpaksa berhenti sekolah sejak akhir bulan lalu sebab ayah tak ada duit untuk bagi saya sekolah,” kata kanak-kanak lelaki ingin dikenali Faris (bukan nama sebenar), 10, yang diselamatkan oleh Briged Bakti Malaysia (BBM) cawangan negeri Kedah.

Selepas kematian ibunya pada akhir Disember lalu, kanak-kanak ini hidup melarat bersama bapanya yang tiada pekerjaan tetap dan tempat tinggal di kawasan Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah.

Menurut kanak-kanak itu, sebelum kematian ibunya, dia tinggal di bangsal di ladang kelapa sawit sekitar Semeling, di Sungai Petani, bersama ibu dan seorang kakaknya.

Sementara itu, Pengerusi BBM cawangan Kedah, Md Tahir Saad berkata, kanak-kanak itu diambil daripada bapanya pada 1 April lalu selepas pihaknya dihubungi oleh kakak kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Ayu (bukan nama sebenar), 16.

“Sebenarnya BBM Kedah sudah lama membantu keluarga kanak-kanak ini iaitu sejak 2017 selepas mengetahui tiga beranak ini hidup dalam kemiskinan.

“Ibu mereka digantung tidak bertali oleh suaminya membuatkan wanita itu terpaksa bekerja untuk membesarkan anak-anaknya biarpun mempunyai masalah kesihatan ketika itu.

“Namun, kami difahamkan selepas kematian wanita itu, dua beradik ini diambil oleh bapa masing-masing dan difahamkan ibu mereka pernah berkahwin sebanyak tiga kali,” katanya ketika ditemui di pejabat BBM cawangan Kedah di Taman Bayu Indah, Sungai Petani, hari ini.

Beliau berkata, kerana tidak sanggup melihat keadaan adiknya, Ayu yang tinggal di kampung yang sama bertindak menghubungi seorang daripada ahli BBM meminta pihaknya menyelamatkan Faris.

“Susulan itu, kami bertindak mencari kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan maklumat terperinci, kami bernasib baik apabila bapa kanak-kanak itu rela menyerahkan anaknya itu kepada kami.

“Buat sementara waktu, Faris ditempatkan di rumah seorang daripada ahli kami sebelum ditempatkan di Rumah Anak Yatim Gemilang di Sik,” katanya.

Dalam pada itu, Md Tahir berkata, pihaknya turut berusaha menyelamatkan Ayu yang juga kini dikatakan tidak bersekolah sejak awal tahun ini akibat kemiskinan keluarga.

“Tahun lalu Ayu pernah tercicir persekolahan selama tujuh bulan kerana terpaksa menggalas tanggungjawab mencari wang bersama ibunya untuk meneruskan kehidupan mereka serta menyekolahkan adiknya.

“Atas usaha yang kami lakukan dengan bantuan pelbagai pihak, Ayu kembali boleh bersekolah, namun kami terkilan apabila mengetahui nasibnya kembali seperti dulu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha membuat rundingan bersama keluarga remaja berkenaan untuk mengambilnya dan ditempatkan di rumah anak yatim yang sama.

“Kita nak usaha menyelamatkan masa depan dua beradik ini sekurang-kurangnya mereka mendapat pendidikan sehingga tamat tingkatan lima,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 1:37pm
d