mutakhir

Sampai bila nak kena bersabar?

Oleh Ramli Ibrahim

SERAMAI 26 keluarga terbabit dengan pembinaan jalan baru Kampung Mentara Lama-Bulatan Bandar Gua Musang di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, resah apabila kediaman mereka kerap ditenggelami air apabila hujan lebat.

Masalah itu membimbangkan penduduk memandangkan kediaman mereka dilimpahi air hujan termasuk memasuki rumah.

Kediaman mereka terbabit dalam pembinaan Jalan Pakej 3D sejauh 10.5 kilometer dari Kampung Mentara Lama ke Bulatan Bandar Gua Musang.

Difahamkan, sebanyak 145 rumah terbabit dalam pembinaan jalan itu yang perlu dirobohkan tetapi 119 rumah layak menerima pampasan kerana memiliki geran hak milik.

Penduduk, Abdullah Isa, 69, berkata, rumahnya kerap ditenggelami takungan air hujan kerana kediamannya terletak di tengah pembinaan jalan baharu itu.

“Setakat ini, saya belum menerima kata putus daripada kerajaan bila kami boleh berpindah kerana tapak perkampungan baru belum disediakan.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Abdullah berkata, rumahnya paling teruk mengalami kerosakan apabila air hujan yang bertakung memasuki rumah hingga merosakkan perabot.

“Walaupun tanah yang kami tinggal ini tidak ada geran, tetapi kami perlu berpindah ke tempat yang disediakan kerajaan dan memerlukan sedikit pampasan,” katanya.

Sementara itu suri rumah, Rosnani Che Ahmad, 65, berkata, dia tinggal di kawasan itu lebih 20 tahun yang lalu dan hak milik tanah sudah lama dipohon dengan kerajaan negeri.

Katanya, dia sedih dengan apa yang berlaku dan tidak tahu perlu menunggu sampai bila untuk keluarganya berpindah ke perkampungan baharu yang disediakan kerajaan.

“Kami mempunyai seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) dan kerap berdepan detik cemas apabila air memasuki rumah,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 2:10pm
d