mutakhir

Dah dikurung, dirogol pula...

Oleh Garret Dawum

DIROGOL sebanyak tiga kali dan dikurung selama tiga hari di bilik hotel. Itu nasib malang yang menimpa pelajar yang berasal dari Song.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freddy Bian berkata, sebelum kejadian, gadis terbabit berusia 17 tahun dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Boy ketika berada di Gelanggang Kenyalang, Kapit, 2.30 petang, Ahad lalu.

Difahamkan, gadis berkenaan yang bersekolah di sekolah menengah di Song datang ke Kapit untuk berjumpa dengan rakan perempuannya.

Menurutnya, ketika berkenalan, suspek yang menyedari mangsa adalah orang luar mengambil kesempatan dan berpura-pura mengenali rakan yang dicari serta berjanji akan membawa mangsa berjumpa rakannya itu.

“Suspek kemudiannya membawa mangsa mendaftar masuk di hotel di Kapit dan meninggalkan gadis itu bersendirian.

“Namun, suspek datang semula ke hotel terbabit pada 10 malam dan dipercayai memaksa mangsa melakukan hubungan seks,” katanya.

Freddy berkata, selama tiga hari bersama di bilik hotel, suspek dipercayai memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya sebanyak tiga kali.

“Mangsa juga dipercayai diugut bunuh oleh suspek sekiranya memberitahu orang lain mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa berjaya melarikan diri daripada terus menjadi hamba seks apabila suspek tertidur awal pagi kelmarin.

“Mangsa bergegas ke Balai Polis Kapit untuk membuat laporan kira-kira 3 pagi.

“Suspek yang menyedari mangsa sudah melarikan diri pula bertindak keluar dari hotel dan menaiki bot ekspres ke Sibu,” katanya.

Susulan itu, suspek berusia 27 tahun berjaya ditangkap anggota pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) setibanya di Terminal Penumpang Sibu.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 April ini untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 2:32pm
d