mutakhir

Belum waktu dedah laporan CEP - PM

Oleh Hairulazim Mahmud

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, belum tiba masa untuk kerajaan mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum bagi mengelakkan sebarang implikasi termasuk saman.

Beliau berkata, laporan akhir CEP sudah dibentangkan kepada beliau dan tugas majlis itu ditamatkan secara rasmi 19 Ogos tahun lalu.

“Waktu ini belum sampai masa untuk dedah. Mungkin masa hadapan selepas ambil tindakan dan tidak ada kemungkinan kita dikenakan saman malu dan sebagainya, barulah kita akan dedahkan.

“Laporan CEP adalah di bawah bidang kuasa dan menjadi urusan rasmi kerajaan, malah semua anggota CEP dan pegawai yang terbabit secara langsung tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” tegas beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pendedahan kepada umum laporan CEP yang disunting.

Menjawab soalan asal penyokong kerajaan berkenaan yang ingin mengetahui sama ada kerajaan sedia menerbitkan laporan CEP berdasarkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kebebasan maklumat demi mengelak fitnah serta persepsi tidak betul oleh umum, Dr Mahathir berkata:

“Kerajaan perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan CEP wajar didedahkan kepada umum atau tidak kerana terdapat beberapa hasil dapatan CEP yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Ini adalah bagi mengelak polemik yang mungkin boleh menjejaskan hasil siasatan dan keyakinan pelabur.”

Beliau berkata, apa yang penting ialah semua cadangan penambahbaikan yang diterima dilaksanakan sebaik mungkin bagi kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, arahan pelaksanaan sudah diserahkan kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk diselaras.

Beliau berkata, CEP yang berperanan sebagai badan penasihat kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan dibantu sekretariat, Jawatankuasa berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi.

“Dua pasukan petugas khas yang terbabit ialah pasukan petugas khas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta petugas khas projek Multi-Product Pipeline dan projek Trans Sabah Pipeline,” katanya. Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai usaha dan tindakan kerajaan mengurangkan hutang, Dr Mahathir berkata, peratusan hutang negara berkurangan berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyelesaian beberapa hutang negara.

“Apabila GDP (KDNK) meningkat, peratusan hutang kurang. Kedua, apabila kita selesai beberapa hutang, maka hutang sudah kurang.

“Ia tidak lagi menjejaskan usaha kita kita mentadbir dan membangunkan negara.”

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 2:50pm
d