mutakhir

Selepas adik, anak pula 'pergi' [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

“ADIK bongsu saya baru meninggal dunia dua hari lalu, tidak pernah terfikir hari ini anak saya pula yang pergi,” kata Zayadi Mohamad, 46, bapa kepada Muhammad Syafawi Zayadi, 17.

Muhammad Syafawi adalah seorang daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lokman Hakim, FELDA Lok Heng, Kota Tinggi, yang maut dalam kemalangan di simpang FELDA Lok Heng, Jalan Kota Tinggi-Bandar Penawar, 6.30 petang semalam.

Zayadi berkata, kehilangan adiknya, Nurul Shahidah, 32, yang meninggal dunia akibat masalah kesihatan masih terasa sehingga kini.

“Syafawi datang bantu mengebumikan mak cik dia, namun kini saya pula yang melihatnya di liang lahad.

“Luluh hati ini. Saya perlu kuatkan hati, reda dengan ketentuan Allah, kalau tidak takut lari akidah,” katanya.

Zayadi ditemui wartawan Harian Metro selepas pengebumian jenazah anaknya itu serta dua lagi pelajar, Mohamad Noriman Bastaman, 17, dan Daing Muhammad Afeeq Mohd Ateeq-ur Rahman, 16 di Tanah Perkuburan Islam Gugusan FELDA Lok Heng, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Azman Adnan.

Menurut Zayadi, dia melihat perubahan yang ketara anak kedua daripada enam beradik itu apabila menjadi pendiam, suka menyendiri dan tidak menceritakan perasaannya.

“Rutin hariannya tetap sama. Dia kerja separuh masa menjadi penjual air di pasar malam setiap Jumaat dan Isnin.

“Apabila saya memberikannya duit belanja, dia sentiasa menolak dengan alasan mempunyai wang sendiri,” katanya.

Mengimbas keperibadian anaknya itu, Zayadi berkata, wang niaga arwah lazimnya tidak digunakan untuk dirinya sendiri, sebaliknya turut dibelanjakan bersama kawan dan keluarga.

Menurutnya, apabila masa terluang, arwah juga rajin menemaninya ke kebun kelapa sawit sehingga selesai kerja harian.

Katanya, pelukan terakhir bersama anaknya semalam seakan takdir tuhan mahu mengambil anak lelakinya untuk selama-lamanya.

“Tidak dapat bayangkan betapa sunyi orang yang disayangi sudah tiada, mungkin pada orang lain tiada apa tetapi percayalah perginya insan istimewa mereka tidak akan pernah kembali,” katanya.

Berita berkaitan

Guru cedera, 3 pelajar maut kemalangan

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 3:21pm
d