mutakhir

SUHAKAM akan hantar inkuiri awam kes Raymond, Amri [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

SURUHANJAYA Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) akan menghantar laporan hasil inkuiri awam kepada kerajaan berhubung dakwaan pembabitan Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai berkata, laporan berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat bagi membolehkan pihak terbabit meneliti dan mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata, laporan itu akan dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara , Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM.

Mah mendedahkan, bagi kes Amri ia membabitkan 97 bahan bukti dan keterangan daripada 24 saksi, manakala bagi kes Raymond pihaknya mempunyai 117 bukti dengan keterangan 16 saksi dipanggil.

Ketika diminta mengulas mengenai bahawa kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes berkenaan, Mah menyambut baik perkara berkenaan.

“Ia perkembangan yang baik, jika RCI ditubuhkan maka siasatan lanjut kes berkenaan akan dapat dibuat secara telus,” katanya ketika sidang media berhubung kehilangan Amri dan Raymond di ibu negara, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersedia menubuhkan RCI bagi menyiasat kes berkenaan.

Mah berkata, pihaknya juga meminta pihak kerajaan agar mewujudkan Pasukan Khas Siasatan bagi menyiasat kes itu secara telus.

“SUHAKAM menyerahkan kepada peguam negara untuk memutuskan perkara itu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta SUHAKAM mengemukakan bukti dakwaan pembabitan E8 Bukit Aman dalam kes kehilangan Raymond dan Amri.

Dr Mahathir dilaporkan berkata kesimpulan inkuiri SUHAKAM yang mengatakan E8 bertanggungjawab terhadap kehilangan dua individu berkenan hanya khabar angin (hearsay).

Koh, 64, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:13pm
d