mutakhir

Kami pun ada perasaan

Oleh Ahmad Ismail

USAH tularkan wajah gelandangan di media sosial kerana ia boleh memberi kesan psikologi kepada waris mereka.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Rusyidatul Mat Yaacub berkata, sejak awal Januari lalu pihaknya menerima 10 aduan berkaitan gelandangan di daerah ini.

Siasatan mendapati mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang, berusia antara 14 hingga 60 tahun.

Hampir semua gelandangan berkenaan mempunyai waris namun merajuk dan keluar rumah disebabkan salah faham antara mereka dan anak-anak.

“Kami dapati, kebanyakan mereka menjadikan tempat awam sekitar bandar ini seperti Dataran Segamat, lorong belakang bangunan dan bawah jambatan sebagai lokasi melepaskan geram atau merajuk namun tidak berpanjangan.

“Kami melakukan pemantauan dengan bantuan polis dan Majlis Perbandaran Segamat (MPS). Mereka biasanya tidak berpuas hati selepas dinasihati waris,” katanya ketika ditemui di pejabat JKM Segamat.

Menurutnya, antara nasihat yang tidak boleh diterima termasuk berhenti mengambil alkohol, sering membuang masa, enggan makan ubat dan tidak menjaga makan.

Kebiasaannya, kes di Segamat hanya membabitkan individu yang sama dan tindakan menularkan wajah mereka di media sosial hanya akan menambah tekanan keluarga serta waris mereka.

“Secara purata kes di Segamat adalah kes sama yang berulang namun sekiranya ada kes penderaan warga emas atau kanak-kanak kami akan mengambil tindakan tegas termasuk bantuan polis.

“Pada masa sama, kami mengalu-alukan bantuan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya melihat gelandangan di kawasan masing-masing dengan menghubungi JKM Segamat di nombor 07-9311331.

“Jangan tularkan keadaan mereka di media sosial kerana ia akan mengaibkan keluarga masing-masing.

“Jika wajah mereka dipaparkan, netizen mungkin akan memberikan pandangan berbeza hingga memberi kesan negatif kepada anak dan cucu gelandangan berkenaan sedangkan mereka tidak tahu punca sebenar,” katanya.

Menurutnya, JKM mempunyai kaunselor terlatih bagi menasihati individu kemurungan selain keluarga yang kerap mengalami masalah psikologi.

Disiarkan pada: April 4, 2019 @ 6:15pm
d